Tuesday, August 10, 2010
Mengait benang bulu
Hobi mengait benang bulu (crochet), sudah lebih hampir dua dekad ditinggalkan. Suatu ketika dulu, pernah mengambil upah mengait chair back dan alas meja, tidak pasti belajar dari siapa tetapi mungkin menerusi kelas anjuran Kemas yang datang sebulan sekali untuk mengajar kraft tangan dan masakan kepada PERKEP BN 19 (Senoi Praaq) semasa di Pengkalan Hulu (Kroh) Perak.
Masih ingat lagi kegilaan mengait di kem BN 19, boleh dikatakan setiap rumah mesti memiliki alas meja, chair back, alas peti sejuk, mesin basuh dan juga sarung kipas angin yang berkait benang bulu dengan warna-warna yang begitu cemerlang seperti warna merah, orange, hujau, kuning dan pink dan pattern yang biasa semestinya, pattern buah nenas dan buah anggur tetapi buah anggur memerlukan benang yang banyak. Mungkin pada ketika itu harga benang masih mampu dibeli, lama kelamaan harga benang semakin naik dan secara-cara beransur-ansur hobi mengait pun terkubur.
Baru-baru ini teringin mengait kembali kerana hendak membuat shawl, walaupun harga benang agak mahal tetapi digagahkan juga. Alhamdulillah, walaupun sudah lama tidak mengait tetapi kemahiran masih ada mungkin sudah sebati dalam diri.
Pada peringkat permulaan memang sering melakukan kesilapan, kebiasaannya kesilapan mengira rantai-rantai kaitan. Apabila mengait pengiraan sangat penting, jika silap mengira akan membawa padah dan terpaksa membuka semula kaitan dan mengulang kembali ditempat yang bermulanya kesilapan, walaupun kadang-kadang sudah mengait beberapa baris.
Setelah beberapa kali membuat kesilapan, hampir saja ke tahap berputus asa dan mula berfikir untuk menamatkan saja projek ‘shawl’ tersebut, tetapi bersabar sekejap kerana mungkin didepan ada ilham untuk meneruskan projek. Alhamdulillah, sekarang sudah mendapat rentak untuk mengait dan juga sudah hafal dengan pengiraannya.
Apa yang menyeronokkan tentang mengait bagi saya, pertama sekali tentulah hasil kerja tangan itu sendiri, yang bermula daripada sebuku benang kemudian dijalin begitu rupa sehingga menjadi kain alas meja atau juga baju umpamanya. Kedua, masa mengait adalah masa untuk saya berfikir atau berangan-angan, dan kadang-kadang jika terleka akan menjadi silap langkah.
Oleh itu dalam proses mengait, kita perlu berhenti sejenak selepas beberapa ketika untuk melihat semula sekiranya ada kesilapan, jika kesilapan itu tidak menjejaskan hasil kerja, kita teruskan proses kerja. Begitu juga dengan kehidupan, kita perlu berhenti sejenak untuk muhasabah diri untuk menilai samada kita telah melakukan sebarang kesilapan yang boleh menjejaskan kehidupan kita, dan jika ada kesilapan kecil janganlah diperbesarkan tetapi jangan diulangi.
Begitu juga dalam proses mengait, sekiranya kesilapan itu terlalu ketara dan merosakan pattern, maka kaitan tersebut terpaksalah dibuka dan dikait semula walaupun sudah mengambil banyak masa kita. Samalah dengan kehidupan, jika kita membuat kesilapan yang besar dalam kehidupan, maka kita perlu balik kepangkal jalan walaupun kita telah sesat dalam masa yang panjang tetapi masih belum terlewat untuk kita bertaubat, Insyallah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Bila siap projek ni Kak Long ???
ReplyDelete